Misi Pendatang Tempatan
Misi di Ambang Pintu Kita: Menjangkau Bangsa-Bangsa di Dalam Bandar Kita
Sejak abad ke-18, bandar-bandar telah menjadi pusat tarikan kepada peluang dan harapan. Kebangkitan pembandaran dan perindustrian telah mendorong ramai individu — baik penduduk tempatan mahupun warga asing — berhijrah ke kawasan metropolitan demi mencari kehidupan yang lebih baik. Hari ini, bandar-bandar di Malaysia menjadi tempat tinggal kepada lebih daripada 2.9 juta pekerja asing, lelaki dan wanita yang meninggalkan keluarga serta tanah air mereka demi kestabilan dan sumber rezeki.
Namun, di sebalik bangunan konkrit dan kesibukan kota, tersembunyi satu kebenaran yang mendalam: para pekerja asing ini merupakan salah satu ladang misi terbesar pada zaman ini. Ramai daripada mereka berasal daripada kumpulan masyarakat yang belum dijangkau dalam Tetingkap 10/40 — kawasan yang merangkumi Afrika Utara hingga Asia, di mana majoriti penduduk dunia yang paling kurang mendengar Injil menetap.
Dalam banyak aspek, negara kita dibina di atas titik peluh mereka. Bangunan pencakar langit yang membentuk latar bandar, jalan raya dan rel yang menghubungkan kota, serta kemudahan dan infrastruktur yang kita nikmati setiap hari — semuanya mempamerkan hasil kerja tangan mereka. Mereka bukan sahaja pembina ekonomi, tetapi juga sebahagian daripada masa depan bersama kita. Mereka sememangnya layak menerima lebih daripada sekadar upah; mereka wajar dilihat, dihargai dan dikasihi sebagai sesama insan yang diciptakan menurut gambar Tuhan.
Pada masa lalu, Gereja mengutus para mubaligh ke tanah-tanah yang jauh, merentasi lautan dan benua demi menyampaikan Berita Baik. Namun hari ini, bangsa-bangsa itu telah datang kepada kita. Ladang misi tidak lagi jauh — ia kini berada di persekitaran kita sendiri. Gereja mempunyai peluang dan tanggungjawab yang luar biasa untuk menjangkau mereka dengan penuh belas kasihan dan tujuan.
Inilah sebabnya kami memilih untuk memfokuskan usaha misi kepada para pekerja asing — kerana mereka bukan sekadar datang untuk membina bandar-bandar kita; mereka berada di sini untuk mengalami pertemuan ilahi dengan kasih Kristus.
Mengapa Kami Melayani Komuniti Pekerja Asing
Mereka Adalah Golongan Tertindas dan Terpinggir
Walaupun mereka merupakan penduduk sementara, ramai pekerja asing hidup dalam keadaan yang mencabar — berdepan dengan diskriminasi, pengasingan dan kekurangan sokongan. Kitab Suci berulang kali mengingatkan kita untuk menjaga orang asing, golongan tertindas dan terpinggir. Melayani mereka adalah manghayati Injil dalam tindakan.Akses Terhad kepada Pendidikan dan Injil
Kebanyakan pekerja asing mempunyai tahap pendidikan formal yang terhad, dan lebih kurang lagi pendedahan kepada mesej Kristus. Bagi ramai daripada mereka, inilah peluang pertama untuk mendengar Berita Baik — satu peluang yang mampu mengubah kehidupan mereka untuk selama-lamanya.Mereka Adalah Jambatan kepada Bangsa-Bangsa
Para pekerja ini datang dari negara-negara seperti Myanmar, Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Filipina — semuanya merupakan sebahagian daripada ladang misi global. Apabila mereka mengenal Kristus di sini, mereka menjadi saksi yang berkuasa, membawa Injil kembali ke komuniti asal mereka, menjangkau mereka yang mungkin tidak pernah kita kunjungi secara fizikal.
Selepas bertahun-tahun berdoa dan membuat persiapan, kami bersyukur dan memuji Tuhan kerana menjawab panggilan kami untuk bertindak. Kami telah menubuhkan Pelayanan Burma yang pertama di Pudu, Kuala Lumpur, di bawah kepimpinan Pasttor Richard Ai Maung. Pelayanan ini telah menjadi tempat ibadah, persekutuan dan pemuridan bagi komuniti berbahasa Burma.
Seterusnya, Tuhan membuka jalan bagi Pelayanan Nepal — pelayanan pekerja asing kami yang kedua, yang kini aktif di Petaling, Cheras, Semenyih dan Balakong, di bawah pimpinan Daerah Selangor. Pelayanan-pelayanan ini menjadi kesaksian hidup tentang bagaimana Tuhan sedang bekerja di tengah-tengah bangsa-bangsa dalam sempadan negara kita sendiri.
Amanat Agung tidak terikat kepada geografi — ia adalah panggilan untuk menjangkau manusia di mana sahaja mereka berada. Ketika bangsa-bangsa datang ke bandar-bandar kita, Gereja harus bangkit menyambut mereka dengan tangan terbuka, memberitakan Injil bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi melalui kasih, kehadiran dan komuniti.
Pelayanan Kami
Kami turut terlibat di dalam pelayanan berikut:





